Khamis, 13 Disember 2012

Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan Al-Quran (DR MAZA))

ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN\ Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA) Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama wahyu yang agung dan berwibawa ini. Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara israiliyyat. Cakap Orang Tua Tak Semua Betul Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya tidak dibantah. “Orang tua selalu betul”. Hari ini barangkali tidak. Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’.
Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah. Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘tuhan’ yang tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ itu syirik, namun oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas. Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’francais’ oleh yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘sewaktu‘ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus. Generasi baru sudah mula celik. Sains Menolak Dongeng Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas. Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa. Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.
Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini, generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ boleh bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu dipertikaikan.
Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai bahawa: “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah) Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah: Maktabah al-Sunnah) Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi ini terapung-apung di angkasa.
Fokus Tajdid Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak menolak bentuk-bentuk khurafat. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)
Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang merosakkan agama. Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran. Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah : (maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12) Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya. Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat. Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150) Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani. Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran. Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85, Jordan: Maktabah al-Manar) Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat. Mengelirukan Wajah Islam Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)
Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah). Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.

Ilmu jaminan kejayaan di dunia,akhirat(copy dari BERITA HARIAN)

2012/12/12 - 05:12:40 AM Oleh Mohd Suyuty Ismail Cetak Emel Kawan Anugerah Allah yang paling utama dan istimewa kepada manusia ialah ilmu. Ilmu penting menjamin kejayaan manusia di dunia dan akhirat. Ilmu juga prasyarat untuk mencapai kemajuan di dunia dan sebagai alat dalam mencapai kesempurnaan di akhirat kelak. Kebolehan menguasai ilmu berbeza mengikut kemampuan mental dan intelek seseorang. Namun, tuntutan menuntut ilmu adalah wajib kepada umat Islam yang mukallaf terutama ilmu berkaitan fardu ain. Setelah selesai memahami ilmu fardu ain, digalakkan menuntut ilmu fardu kifayah yang amat luas skopnya. Individu dan negara dapat meningkat ke mercu kejayaan menerusi ilmu pengetahuan yang sememangnya tidak ada batasan baginya. Firman Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105) Ilmu meletak manusia lebih utama daripada makhluk Allah SWT yang lain, bahkan lebih tinggi daripada malaikat . Nyatalah penghormatan ini tidak diberikan kepada manusia kerana kecekapan dan kekuatan mental atau fizikal tetapi berdasarkan ilmu yang dimiliki. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa sewaktu Allah SWT menjadikan manusia, Dia melengkapkan manusia dengan ilmu supaya manusia menggunakannya dengan betul dan wajar dalam mencapai hasrat sama ada kebendaan atau kerohanian. Dalam erti kata lain, manusia diberi alat menerusi ilmu pengetahuan untuk mengeksploitasi dan menggunakan sumber alam semaksimum mungkin bagi manfaat diri mereka. Satu-satunya perkara yang mengehadkan kemajuan manusia ialah kegagalan menggunakan ilmu secara bijaksana. Penekanan al-Quran mengenai pembelajaran menunjukkan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi dan politik bergantung kepada ilmu pengetahuan dimiliki. Bahkan seluruh falsafah yang menunjangi al-Quran berdiri atas ilmu yang memungkinkan martabat rohani dan jasmani manusia diangkat. Ini jelas terbukti menerusi kenyataan bahawa manusia pertama diberi penghormatan berbanding makhluk lain adalah dengan ilmu. Firman Allah SWT: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah al-‘Alaq, ayat 1) Allah SWT menghendaki manusia membongkar rahsia alam ini seterusnya mencari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Apabila manusia tidak mahu berusaha menguasai ilmu, maka manusia akan jatuh ke lembah kegelapan dan kejahilan. Seterusnya manusia akan membuat penafsiran yang tidak ilmiah mengenai kehidupan dan alam semesta yang bercanggah dengan ajaran al-Quran. Jika direnungkan sejenak dapatlah dilihat betapa ajaib dan indahnya kuasa Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105) Keghairahan terhadap mencari serta mempelajari ilmu sebenarnya merangsang usaha penyelidikan manusia sehingga membuka peluang yang tidak ada hadnya bagi manusia dalam semua bidang pemikiran dan tindakan. Pencapaian generasi awal Islam yang cemerlang dalam setiap bidang ilmu dan kesenian kerana ke mana saja pergi, mereka membawa ilmu yang memperkayakan kebudayaan serta peradaban negara yang mereka diami. Eropah serta seluruh dunia Islam terhutang budi kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana kemajuan dalam bidang keilmuan. Namun malang sekali kerana setiap bidang keilmuan dalam dunia barat mengambil titik tolak yang salah. Sebagai umat Islam kita meyakini segala bidang ilmu adalah berpaksikan kepada Allah SWT, daripada Allah ilmu datang, kepada Allah ilmu kembali. Semoga dengan ilmu yang sedikit demi sedikit kita pelajari akan mendapat rahmat yang besar daripada Allah SWT. Penulis adalah Ketua Panitia Pendidikan Islam dan tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan Labu Besar, Kulim, Kedah

Panduan khusyuk dalam ibadah (copy dari BERITA HARIAN))

2012/12/12 - 05:16:34 AM Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Kawal pengaruh luar daripada menggugat ketenangan hati ketika solat Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika Rasulullah SAW ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka Baginda bersabda: “Jika khusyuk hati lelaki ini, akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan. Ibn Jarir meriwayatkan, sahabat Nabi SAW, Abdullah ibn Abbas berkata: “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Apabila datang makanan malam dan iqamah untuk solat sudah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dulu” hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim Hasil kesan positif Khusyuk dalam solat penting tetapi khusyuk juga perlu diamalkan dalam semua ibadah yang dilakukan supaya menghasilkan kesan yang positif. Di akhir zaman khusyuk akan lenyap daripada hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Nabi SAW, Ubadah bin Samit berkata: “Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, Huzaifah bin Yaman berkata: “Perkara pertama yang akan luput daripada agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.” Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Mengikut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin: “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan serta kebesaran Ilahi. Harap bermaksud mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud berasa malu dengan ibadah yang dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya. Pengaruh luar perlu dikawal Untuk membantu hati khusyuk, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dulu. Demikian jugalah kiasannya dengan membuang air besar, kecil dan yang seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Apabila datang makanan malam dan iqamah untuk solat sudah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dulu.” Imam Al-Ghazali, dalam kitab Ihya Ulumuddin, bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, menyatakan pengaruh luar adalah sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan, sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri daripada semua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna menarik serta gambar. Ingatan kepada akhirat Ketika hendak bertakbiratul ihram, hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat serta dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ia satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. Kesimpulannya, ibadat solat adalah komunikasi seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Ingatlah, solat yang benar-benar khusyuk saja yang mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Katakan Tidak Pada Wahabi

Katakan Tidak Pada Wahabi (COPY DARI DR MAZA,< MINDA TAJDID >) ADMIN / NOVEMBER 7, 2009 (Artikel ini telah ditulis dua tahun yang lepas dan dicadangkan untuk pembacaan) Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti. Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!. Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi?. Dia diam. Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!. Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali. Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi’i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi. Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi. Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi’i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!. Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya..perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut : Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!! Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi’i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut : Dar al-Fikr). Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi’i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi’i, terutamanya dalam fiqh muamalat. Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi’i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi’i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua). Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`). Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan. Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya. Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabahsepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”. (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau. Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din. Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali. Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal tahun 2004: “Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat. Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri. Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135) Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah) Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut ar al-Kutub al-`Ilmiyyah) Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya: -Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah) -Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah) -Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339) -Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah). Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya. Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !! Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri. Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’. Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan. ——————————————————————————–

Isnin, 10 Disember 2012

SOMBONG

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga, siapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah kesombongan.” Maka seseorang berkata: “Bagaimana dengan seseorang yang suka memakai baju dan selipar yang cantik?” Maka berkata Rasulullah: Sesungguhnya Allah itu maha indah dan cinta pada keindahan (maksudnya, pakaian indah tidak selalu bererti kesombongan). Alkibr (kesombongan) itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah remeh orang lain.” – (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak ditegur Allah, tidak disucikan, dan tidak diperhatikanNya kelak di hari kiamat, dan mendapat seksa yang pedih iaitu: orang tua yang tetap berzina, penguasa (pemimpin) yang dusta, dan fakir yang sombong.” – (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa merasa dirinya besar, atau angkuh dalam berjalan, dia akan berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya.” – (Hadis riwayat Muslim) AlSurah al-Qashash; ayat 83; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Negeri Akhirat itu (kebahagiannya dan keni’matannya) Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi.” Surah Luqman; ayat 18; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” COPY:http://ohislam.com/sombong/

Mari Berselawat


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

world visitor

free counters