Khamis, 13 Disember 2012

Ilmu jaminan kejayaan di dunia,akhirat(copy dari BERITA HARIAN)

2012/12/12 - 05:12:40 AM Oleh Mohd Suyuty Ismail Cetak Emel Kawan Anugerah Allah yang paling utama dan istimewa kepada manusia ialah ilmu. Ilmu penting menjamin kejayaan manusia di dunia dan akhirat. Ilmu juga prasyarat untuk mencapai kemajuan di dunia dan sebagai alat dalam mencapai kesempurnaan di akhirat kelak. Kebolehan menguasai ilmu berbeza mengikut kemampuan mental dan intelek seseorang. Namun, tuntutan menuntut ilmu adalah wajib kepada umat Islam yang mukallaf terutama ilmu berkaitan fardu ain. Setelah selesai memahami ilmu fardu ain, digalakkan menuntut ilmu fardu kifayah yang amat luas skopnya. Individu dan negara dapat meningkat ke mercu kejayaan menerusi ilmu pengetahuan yang sememangnya tidak ada batasan baginya. Firman Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105) Ilmu meletak manusia lebih utama daripada makhluk Allah SWT yang lain, bahkan lebih tinggi daripada malaikat . Nyatalah penghormatan ini tidak diberikan kepada manusia kerana kecekapan dan kekuatan mental atau fizikal tetapi berdasarkan ilmu yang dimiliki. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa sewaktu Allah SWT menjadikan manusia, Dia melengkapkan manusia dengan ilmu supaya manusia menggunakannya dengan betul dan wajar dalam mencapai hasrat sama ada kebendaan atau kerohanian. Dalam erti kata lain, manusia diberi alat menerusi ilmu pengetahuan untuk mengeksploitasi dan menggunakan sumber alam semaksimum mungkin bagi manfaat diri mereka. Satu-satunya perkara yang mengehadkan kemajuan manusia ialah kegagalan menggunakan ilmu secara bijaksana. Penekanan al-Quran mengenai pembelajaran menunjukkan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi dan politik bergantung kepada ilmu pengetahuan dimiliki. Bahkan seluruh falsafah yang menunjangi al-Quran berdiri atas ilmu yang memungkinkan martabat rohani dan jasmani manusia diangkat. Ini jelas terbukti menerusi kenyataan bahawa manusia pertama diberi penghormatan berbanding makhluk lain adalah dengan ilmu. Firman Allah SWT: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah al-‘Alaq, ayat 1) Allah SWT menghendaki manusia membongkar rahsia alam ini seterusnya mencari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Apabila manusia tidak mahu berusaha menguasai ilmu, maka manusia akan jatuh ke lembah kegelapan dan kejahilan. Seterusnya manusia akan membuat penafsiran yang tidak ilmiah mengenai kehidupan dan alam semesta yang bercanggah dengan ajaran al-Quran. Jika direnungkan sejenak dapatlah dilihat betapa ajaib dan indahnya kuasa Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105) Keghairahan terhadap mencari serta mempelajari ilmu sebenarnya merangsang usaha penyelidikan manusia sehingga membuka peluang yang tidak ada hadnya bagi manusia dalam semua bidang pemikiran dan tindakan. Pencapaian generasi awal Islam yang cemerlang dalam setiap bidang ilmu dan kesenian kerana ke mana saja pergi, mereka membawa ilmu yang memperkayakan kebudayaan serta peradaban negara yang mereka diami. Eropah serta seluruh dunia Islam terhutang budi kepada Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana kemajuan dalam bidang keilmuan. Namun malang sekali kerana setiap bidang keilmuan dalam dunia barat mengambil titik tolak yang salah. Sebagai umat Islam kita meyakini segala bidang ilmu adalah berpaksikan kepada Allah SWT, daripada Allah ilmu datang, kepada Allah ilmu kembali. Semoga dengan ilmu yang sedikit demi sedikit kita pelajari akan mendapat rahmat yang besar daripada Allah SWT. Penulis adalah Ketua Panitia Pendidikan Islam dan tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan Labu Besar, Kulim, Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mari Berselawat


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

world visitor

free counters