Khamis, 13 Disember 2012
Israiliyyat: Penceramah Mencemarkan Al-Quran (DR MAZA))
ISRAILIYYAT: PENCERAMAH MENCEMARKAN AL-QURAN\
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Melihat sesetengah penceramah televisyen atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya, amatlah merisaukan hati. Sebahagian kisah-kisah yang disebutkan itu tidak mempunyai sebarang sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya adalah Israiliyyat. Lebih malang lagi, sebahagian kisah-kisah itu kelihatan seperti mitos atau kartun semata. Apabila ianya jika dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama wahyu yang agung dan berwibawa ini.
Secara umumnya Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Bukan sedikit juga riwayat-riwayat tersebut yang terselit atau disebutkan dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara israiliyyat.
Cakap Orang Tua Tak Semua Betul
Dunia semakin canggih, teknologi berkembang di luar dari igauan generasi yang lalu. Banyak perkara yang tidak wujud pada masa generasi lalu, ia adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang tua-tua kesemuanya tidak dibantah. “Orang tua selalu betul”. Hari ini barangkali tidak. Mungkin pandangan orang tua-tua dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’.
Dahulu cakap orang yang bergelar ustaz atau tok guru tidak akan dibantah. Bahkan dianggap berdosa jika membantah dan melawan. Maka segala perbuatan ustaz atau tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘tuhan’ yang tidak dipertikaikan firmannya. Ucapan mereka diterima bulat-bulat. Bagaikan Rasul yang maksum. Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ itu syirik, namun oleh kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat melayu. Tepung tawar pelepas bala bukan ajaran Islam. Bahkan ia mempunyai nilai-nilai syirik yang jelas. Namun, dahulu ramai yang membuatnya. Sebabnya kerja ini di’francais’ oleh yang bergelar ustaz atau mungkin yang bergelar tok guru. Perkara yang ‘sewaktu‘ dengan semua itu bukan sedikit telah berlaku dalam masyarakat kita. Namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang sudah pupus. Generasi baru sudah mula celik.
Sains Menolak Dongeng
Hari ini dunia lebih moden. Generasi baru mendapat pendidikan yang luas. Pendidikan dan pengetahuan moden selalu menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Maka tidak hairan jika generasi moden mula mempersoalkan banyak perkara-perkara yang dianggap berakar umbi dalam masyarakat sekalipun atas nama agama. Dahulu barangkali seorang ustaz di masjid boleh menceritakan berbagai riwayat Israiliyyat dengan selesa. Sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak seorang nabi diperkatunkan sehingga hilang kehebatan perjuangannya. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi mereka tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan seorang nabi yang mempunyai tugasan dakwah yang agung.
Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharram atau ‘asyura boleh bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dengan berkempen orang ramai memasak bubur tersebut untuk dimakan. Hari ini, generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu dan rasional untuk kita melakukannya. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai seorang chef untuk memperkenalkan resepi bubur. Dia adalah seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Mereka mungkin sudi memakan bubur tersebut. Tetapi tidak sanggup perkara itu dikaitkan sebagai satu arahan Islam yang agung ini. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ boleh bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini perkara seperti itu tentu dipertikaikan.
Dahulu, ada yang mempercayai cerita sesetengah ustaz atau lebai bahawa: “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”
Pengetahuan moden sama sekali menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini adalah riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini:
“Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78, Syria: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Kata Abu Syahbah :
“Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305, Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
Malangnya, ada golongan agama dahulunya mempercayai perkara ini. Mereka menyangka bahawa dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu itu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu yang lain. Ini adalah karut, menyanggahi hakikat yang diterima secara yakin bahawa bumi ini terapung-apung di angkasa.
Fokus Tajdid
Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden yang telah banyak menolak bentuk-bentuk khurafat.
Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah yang jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku-buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menyangka al-Quran menghidangkan kisah-kisah lucu, atau ada kandungan al-Quran yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi :
“Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31, Damsyik: Dar al-Qalam.)
Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang merosakkan agama.
Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran. Israiliyyat telah memalingkan manusia dari memberikan tumpuan kepada inti-kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenalpasti pula sejauh kebenarannya. Bahkan sebahagian besarnya adalah karut marut dan bohong. Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat dan dapat dicontohi. Firman Allah :
(maksudnya): Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah”. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)
Demikian insan apabila membaca ayat ini akan tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan. Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang berguna kepada anaknya. Nasihat-nasihat tersebut banyak pengajarannya. Antaranya ia adalah nasihat yang berkualiti yang terbit dari orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan yang bermutu dan tepat. Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman adalah seorang lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai lagi.( lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)
Tambahan Israiliyyat ini, hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utama al-Quran yang menghidangkan kisah tersebut sebagai suatu pengajaran dan pengiktibaran yang dapat dimanfaat oleh semua kepada perbincangan yang belum tentu ada faedahnya. Apakah faedah besar untuk pembaca al-Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek?!. Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah telah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi. Apakah itu tujuan kisah yang dibawa?! Atau tujuannya mengkisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan dia diperintahkan bersyukur kepada tuhannya. Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.
Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain:
“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.
Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85, Jordan: Maktabah al-Manar)
Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Maklumat berkembang begitu pantas dan tangkas. Masa untuk insan muslim membaca al-Quran juga terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Untuk memahami al-Quran, insan muslim tentu memerlukan lebih kesungguhan iman dan kehendak yang jitu bagi memperuntukkan waktu yang dianggap amat berharga dan selalu memburu. Jika waktu yang terhad itu dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat yang termuat di dalam karangan atau huraian sesetengah penulis dan penceramah, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran akan tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu sebahagiannya mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains dan maklumat.
Mengelirukan Wajah Islam
Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam lalu menolak dan mempertikaikannya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia ini yang menyatakan umur dunia ialah 7000 tahun. Alangkah terperanjatnya mereka kerana para saintis yang mengkaji umur kehidupan di atas muka bumi menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun. Mereka akan tertanya: inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar?!! Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. (Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14, Damsyik: dar al-Qalam)
Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi:
“Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan”. Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyyah, 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sahabat Yg Dikasihi
- Abg Amri Nasrun
- Abg Asyhan Syria
- Amin Penang
- Aziz Bacok
- Azrin Derang
- Bilal Ulum
- Budakiman
- Cahaya
- Cermindiri15
- Dresyamani
- Faiz Dairy
- Fakhrul Nasyid
- Farhan Al-Amien
- Faridmw
- Hakim-dirani
- Halim Al-Amin
- Hambamurabbi
- Inilah-jalanku
- Iqbal Smidu
- Irwannadwi
- Izaan
- Kam Thobib
- Luqman Syria
- Malay Student
- Mfmbskoop
- Milenium-y
- Mirul Perak
- Muhaiminz
- Munzir
- Muslimkini
- Nasrullah
- Suden
- Syafiq. Iman
- Syauqie. Iman
- Syed Faris
- Syed Fariss
- Ucup Al-Amin
- Ust Hafiz Mustafa Lubis
- Ust Hasrul Nizam
- Ustaz Hazwan
- Wawan Gen19
- Yaman88
- Zikri Yaman
- Zuuuu
Mari Berselawat
Create a playlist at MixPod.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan